Siri 30: "Apa cerita stesen Petronas ini? : Memahami Strategi Pemasaran Stesen Petronas
Oleh Dinsman
"Saya secara peribadi jarang mengisi di stesen minyak nasional - PETRONAS, kerana pengalaman peribadi bagaimana perkhidmatan pelanggan yang mengecewakan di stesen minyak tersebut. Malah amat jarang mengunjungi stesen tersebut kecuali dalam keadaan terdesak."
Itu paragraf pertama dari sebuah tulisan berjudul "Petronas Payung & Payung Petronas", yang saya sedang baca dalam kumpulan tulisan Mohamed Nasser berupa pilihan esei dan puisi dari blognya kakisakat.blogspot, 2009-2018.
Tulisan bertarikh 3 September 2014 itu mengkritik layanan stesen-stesen Petronas terhadap para pelanggannya berikutan kempen syarikat minyak itu menawarkan 'Payung Petronas' kepada pelanggan-pelanggannya.
Saya fikir tidak perlulah saya salinkan seluruh tulisan tersebut di sini. Saya sekadar menyalin paragraf di atas itu kerana saya memang sedang mencari bahan-bahan sesuai mengenai stesen minyak Petronas, untuk mengisi buku yang sedang saya usahakan sekarang, berkaitan stesen minyak Petronas. Itu saja.
Mungkin ada di kalangan netizen yang mengikuti siri tulisan Fesbuk saya "Apa Cerita Stesen Petronas ini?" (sudah 29 siri) yang ingin berkongsi sesuatu dengan saya, seperi netizen Ahkarim Abdul Halim yang mendedahkan (dengan gambar2) beberapa stesen di sekitar Alor Setar yang ditutup dalam tempoh beberapa tahun mutakhir. (Sheikh Khuzaifah Bawazeer menjelaskan bahawa stesen2 itu mempunyai masalah pemilikan tanah).
Mengapa saya hendak terbitkan buku ini? Seperti pernah saya jelaskan, dan di sini saya ingin tambah, bahawa saya sekadar hendak memahami apa sebenarnya strategi pemasaran yang diaplikasi oleh syarikat nasional kita yang besar dan gagah perkasa ini, berkongsi keinginan pengurus stesen yang ditamatkan perniagaannya oleh Petronas PDB; yang katanya dia ingin sangat hendak belajar dari pengalaman yang mahal ini untuk membangunkan syarikatnya sendiri, yang kini sedang diusahakannya.
Dan wanita pengurus ini juga, Siti Fazlina Dinsman Fazlina, sangat bersimpati dengan ramai lagi pengusaha stesen minyak yang diketahuinya mengalami kesukaran yang sama sepertinya, tetapi tidak mendapat penjelasan yang sewajarnya - maka dia ingin dan bertekad mendapatkan 'penjelasan' tersebut, untuk kebajikan dan pengajaran bagi mereka yang memerlukannya


No comments: