Header Ads

Header Ads

Siri 14: Apa cerita stesen Petronas ini? : Ada sesuatu yang saya anggap pelik berlaku



Oleh Dinsman

Selamat hari raya Eidilfitri para pembaca sekalian. Maaf zahir dan batin.
Hari raya telah berlalu beberapa hari. Saya ingin bercerita sedikit mengenai hari raya kali ini. Tapi ceritanya agak lain sedikit, iaitu mengenai sekumpulan pengusaha sebuah stesen minyak yang telah beroperasi selama 12 tahun di dekat RnR sebuah lebuhraya di pinggir Kuala Lumpur.

Mengapa saya hendak bercerita mengenai stesen minyak ini? Tentulah ada sebab yang sangat penting dan mustahak; kalau tidak saya takkan hendak bercerita mengenainya dalam kolum ini, yang kebiasaannya saya menulis mengenaia seni dan budaya. Namun ini pun saya kira saya melihatnya dalam konteks budaya juga.

Kebetulan pengurusan stesen ini dijalankan oleh anak-anak perempuan saya. Makanya maklumat saya mengenainya saya percaya tentulah mencukupi, dari sudut pandangan mereka, tetapi tentulah tidak dari sudut pandangan pihak syarikat minyak berkenaan.

Ada beberapa perkara berlaku dalam urusan perniagaan di stesen ini, sejak kira-kira setahun yang lalu, atau lebih; yang sedikit demi sedikit menarik perhatian saya. Kenapa ia menarik perhatian saya? Kerana ada sesuatu yang saya anggap pelik berlaku di dalamnya.

Lalu saya cuba memahaminya. Dalam tempoh sekian lama itu. Anda percaya atau tidak, saya gagal memahaminya. Sah, ia memang pelik, bukan!

Dan itu meningkatkan lagi rasa ingin tahu saya – mengapa begitu? Sebuah syarikat besar begitu, malah terbesar di negara ini, yang menjadi kebanggaan kita semua, tetapi mengapa begitu? Apakah memang begitu polisi atau dasarnya yang tersembunyi, yang tidak dinyatakan kepada pengetahuan umum selama ini?

Lebih banyak soalan mengganggu fikiran semakin meningkatlah rasa ingin tahu dan terfikirlah pula saya – barangkali wajar saya berfikir dalam kerangka untuk menyiapkan sebuah buku. Ini bukan perkara kecil. Ini sesuatu yang mempunyai makna dan kesan implikasi yang besar kepada kepentingan nasional.

Ia bukan lagi masalah bisnes. Ada permasalahan yang lebih besar di dalamnya. Apakah mungkin begitulah prinsip dan strategi perniagaan sebuah syarikat besar seperti Petronas itu, maka ia mampu membuat keuntungan berbilion-bilion RM setiap tahun?

Tidak ada langsung dasar mesra-pelanggan antara mereka dengan ‘dealer’ atau operator/ pengusaha stesen-stesen minyak mereka? Kelihatannya bahawa tugas Territory Manager atau lebih dikenali sebagai ‘Area Manager’ yang berhubungan langsung dengan stesen itu bukannya untuk membantu kalau timbul apa-apa masalah, sebaliknya untuk membina alasan kepada pihaknya bagi membolehkan mereka ‘terminate’ pengusaha/dealer berkenaan.

Itulah persepsi yang dipercayai Puan Fazlina, pengurus stesen berkenaan. Seingatnya, sebaik sahaja dia menceritakan sedikit masalah kewangan yang dihadapi stesennya, dengan harapan mendapat nasihat ke arah mengatasinya, saat itulah bermulanya tekanan demi tekanan yang perlu dihadapinya, termasuk desakan supaya menyerahkan balik stesen itu kepada pihak Petronas Dagangan Berhad (PDB).

Minta maaf para pembaca! Saya bukan membuat tuduhan. Saya hanya ingin memahami. Selama berbulan-bulan saya cuba memahami perkara ini, saya gagal. Pihak pengurusan stesen, Puan Fazlina, yang tidak mahu dilayan oleh pihak Area Manager, bertindak menghubungi pihak atasan Petronas iaitu Pengerusinya sendiri Tan Sri Sidek, dan alhamdulillah mendapat respon yang agak positif.

Namun respon positif Tan Sri Sidek kepada aduan Fazlina itu tidaklah sampai ke peringkat menjawab kemusykilan-kemusykilan saya tadi. Ia hanya memberi penyelesaian sementara sahaja, sehinggalah beliau pun meletak jawatan, dan kira-kira bertepatan saat itulah pula dealer stesen ini menerima surat ‘termination’nya, bertarikh 30 Mei, dan dikehendaki keluar dari premis sebelum 12 Jun. (Anda hitunglah lagi berapa hari nak hari raya tu - 15 Jun!)

Maka itulah dalam posting fesbuk saya pada 11 Jun saya berkongsi satu status seorang netizen yang menceritakan suasana sedih-pilu yang dialami Puan Fazlina dan anak-anaknya menyambut raya, dengan mencatatkan: “Inilah Sebenarnya Iklan Raya Petronas”.

Ya, kita selalu menonton iklan raya Petronas yang menyentuh perasaan menggambarkan erti dan suasana nyaman bahagia keluarga menyambut raya, namun hakikatnya yang berlaku di sini adalah sebaliknya.

Cuba baca sedikit luahan rasa Fazlina sendiri, yang dimuatnaik ke fesbuknya pada 8 Jun, dengan tajuk “Petronas Kebanggaan Saya”. Katanya:
“Sebelum ni bagi saya Petronas adalah satu nama yang besar dan menjadi kebanggaan rakyat. Tapi pada ketika ini, disebabkan oleh segelintir manusia yang mempunyai kuasa di sana, membuatkan saya boleh beranggapan bahawa Petronas adalah sebuah syarikat yang kejam dan tak berperikemanusiaan.

“Hanya disebabkan sedikit kesalahan yang puncanya datang dari kedua belah pihak, kami terus dihalau tanpa belas.

“Lebih zalim bila ia berlaku di saat umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya, manakala kami sibuk berkemas untuk keluar dari premis.

“Bukan satu hati yang hancur malah ramai. Hancur sebab diperlakukan bagai orang tak bermaruah. Hancur memikirkan hari raya bakal menjelang tiba sedangkan kami baru kehilangan kerja. Hancur memikirkan orang seronok berkemas raya sedangkan kami sibuk mencari tempat untuk menumpang barang.”

Dan tulisnya lagi: “Kalau nak bercerita apa sebanarnya yang terjadi memang banyak sangat, dan kejam. Apapun, kuasa di tangan mereka. Peraturan boleh ditukar tanpa berbincang serta persetujuan atau ‘sign’ dari kedua belah pihak. Yang lebih menakjubkan ia juga boleh ditukar bila-bila mereka suka, tak kira sebulan 2 atau 3 kali.”

Maka saya pun kini mencuba mengambil satu pendekatan yang terbuka, untuk memahami permasalahan ini. Saya menulis di laman sosial, dengan mengharapkan pihak-pihak tertentu memberi respons dengan maklumat-maklumat yang boleh membantu saya memahami perkara ini.

Fesbuk saya ‘Shamsudin Osman’ mulai 7 Jun petang, memulakan satu siri yang dinamakan “Apa cerita stesen Petronas ini?” Sehingga sekarang sudah siri ke-12, dengan catatan bertajuk “Tiba-tiba ada Credit Limit 50 ribu”.

Silalah baca fesbuk saya, dan bantulah ke arah kita memahami permasalahan ini, dengan memberikan pandangan dan maklumat yang relevan, demi untuk kepentingan bersama, atau kepentingan nasional.
(Dari kolum 'Tekad Budaya' mingguan Amanah, 24.6.2018)

Nota: Boleh ikuti Siri " Apa cerita stesen Petronas ini? "' secara terus di FB Shamsudin Osman

No comments: